PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi sehingga Disember depan disokong pelaksanaan tiga pendekatan utama bagi memastikan keperluan domestik terus dipenuhi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tiga langkah itu termasuk mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa memandangkan pasaran tenaga global masih berdepan kekangan bekalan fizikal dan penyusutan inventori minyak yang berterusan.
“Pasaran tenaga global kembali tidak menentu minggu lalu apabila purata harga minyak mentah Brent meningkat 5.9 peratus daripada AS$69.82 setong kepada AS$73.94 setong bagi tempoh 6 hingga 10 Julai.
“Kenaikan itu berlaku susulan serangan baharu Amerika Syarikat terhadap Iran yang mencetuskan kebimbangan pasaran mengenai keselamatan pelayaran serta risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz,” katanya menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Katanya, purata harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat 7.9 peratus daripada AS$16.05 kepada AS$17.31 dalam tempoh yang sama.
Akmal berkata,bpeningkatan tersebut didorong oleh usaha pasaran global mengisi semula storan simpanan yang telah digunakan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, harga arang batu kekal stabil pada paras AS$128.86 setan berbanding AS$128.97 setan sebelumnya, disokong oleh permintaan sederhana dari China dan India berikutan peningkatan pengeluaran serta inventori domestik di kedua-dua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 6 hingga 11 Julai meningkat 2.5 peratus kepada 20,832 megawatt berbanding 20,325 megawatt pada minggu sebelumnya.
Katanya, peningkatan itu masih terkawal dan berada dalam margin rizab bekalan elektrik negara, sekali gus tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap kestabilan bekalan tenaga ketika ini.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, kerajaan tidak mengatakan bahawa semua risiko termasuk krisis di Timur Tengah telah berakhir.
“Perkembangan di Selat Hormuz menunjukkan keadaan boleh menjadi tegang pada bila-bila masa dan boleh berubah dengan cepat.
“Namun, Kerajaan akan terus bertindak berasaskan data, mendengar pandangan rakyat dan industri, serta melaksanakan penyelesaian yang praktikal dan berimpak,” katanya. – UTUSAN










