PETALING JAYA: Seramai 171 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan dalam satu majlis graduasi Jumaat lalu.
Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap profesionalisme pegawai kanan PDRM selaras dengan Pelan Strategik PDRM 2021-2025.
“Para pegawai kanan yang bergraduasi merupakan perintis kepada usaha memperkemas kaedah pencarian lapisan kepimpinan muda atau kumpulan bakat yang berpotensi untuk mengisi jawatan penting dan strategik dalam PDRM.
“Sebagai pasukan penguatkuasa terulung di Malaysia, PDRM perlu diterajui oleh mereka yang berkompetensi, berkredibiliti, profesional dan berintegriti tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, program kepimpinan tersebut mampu memperkukuhkan daya kepimpinan menerusi pembangunan bakat berasaskan kompetensi selain memacu penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cemerlang.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Faizal Mohamed berkata, inisiatif itu memperkukuh kepimpinan keselematan melalui pemerkasaan pegawai PDRM yang berdaya saing, pemikiran strategik serta ilmu kalis masa depan.
“Perubahan teknologi dan sosial masa kini memerlukan kepimpinan keselamatan yang kompeten serta berpegang teguh pada nilai ilmu dan integriti.
“Program kali ini bukan sekadar latihan profesional, tetapi juga suatu manifestasi nilai bersama yang kita junjung iaitu keilmuan, amanah, dan tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Program Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan merupakan hasil kerjasama pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UKM dan PDRM pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN










