Pintu rundingan tidak pernah ditutup - Ab Rauf

Pintu rundingan tidak pernah ditutup – Ab Rauf

Ab. Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar selepas ucapan penangguhan Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.-  UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka tidak menutup ruang sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mahu menarik balik keputusan keluar serta-merta daripada pentadbiran kerajaan negeri Melaka, semalam.

 

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pendirian tersebut mengambil kira nasihat Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubunginya dan meminta supaya ruang rundingan dibuka susulan tindakan empat ADUN DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. 

 

Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi sukar apabila DAP bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam pentadbiran negeri sejurus selepas pengumuman dibuat petang semalam.

 

“Saya mengambil maklum dan menghormati pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang meminta saya membuka ruang rundingan atas tindakan yang telah dibuat oleh wakil-wakil rakyat daripada DAP.

 

“Saya menghargai kebimbangan Perdana Menteri yang mahu memastikan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan. Namun mereka tidak lagi menunggu masa yang panjang untuk berunding, sebaliknya terus membuat keputusan dan menyerahkan semua surat peletakan jawatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.

 

Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dalam satu sidang akhbar memaklumkan mereka akan berbincang semula dan membuat keputusan muktamad mengenai sokongan kepada Kerajaan Negeri Melaka selepas mengadakan mesyuarat khas esok.

 

Adly berkata, mesyuarat itu akan menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini susulan tindakan DAP menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri.

 

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri menerima surat rasmi peletakan jawatan itu semalam menyebabkan perubahan tempat duduk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dilaksanakan serta-merta.

 

“Itu sebab apabila Perdana Menteri minta berunding, saya kata sudah tidak boleh berunding kerana mereka sudah serahkan semua surat,” katanya.

 

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah menutup pintu perbincangan, khususnya dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

 

Katanya, walaupun DAP tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri, kedua-dua pihak tidak semestinya menjadi musuh politik sehingga menjejaskan urusan pentadbiran serta kebajikan rakyat.

 

“Kita mungkin tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi tidak perlu menjadi musuh sama ada secara peribadi ataupun dalam usaha membela kepentingan rakyat Melaka.

 

“Kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan, khususnya dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN