12 warga asing maut kebakaran hutan di Sepanyol

12 warga asing maut kebakaran hutan di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Seramai 12 daripada 13 mangsa yang maut dalam kebakaran hutan di wilayah Andalusia di selatan Sepanyol merupakan warga asing, menurut kenyataan pihak berkuasa selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Menerusi satu kenyataan, pihak pegawai memaklumkan tujuh daripada mangsa berkenaan berasal dari United Kingdom (UK), tiga dari Belgium, manakala Perancis dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing mencatatkan satu mangsa. Mangsa terakhir pula dikenal pasti sebagai warga tempatan Sepanyol.

“Kesemua 13 mangsa yang maut merupakan golongan dewasa, terdiri daripada lapan wanita dan lima lelaki,” tambah badan awam yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti identiti mangsa berkenaan.

Kebakaran dilaporkan mula meletus pada Khamis lalu di wilayah tenggara Almeria yang terkenal dengan keindahan landskapnya. Kawasan yang terletak berhampiran pantai Mediterranean itu sememangnya menjadi tumpuan dan penempatan bagi ramai penduduk warga asing.

Tiupan angin kencang terus menyemarakkan lagi marakan api hingga memusnahkan kawasan hutan serta semak samun yang kering kontang akibat suhu ekstrem, sekali gus menukarkan kawasan penempatan luar bandar yang indah itu menjadi seolah-olah ‘pekan hantu’.

Pasukan penyelamat pada mulanya menemukan 12 mayat yang berada dalam keadaan rentung teruk, sehinggakan ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dijalankan bagi mengenal pasti identiti mereka.

Bencana yang disifatkan antara kebakaran paling meragut nyawa di Sepanyol dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada kabel elektrik yang terjatuh di atas jalan raya, sekali gus memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan tanah.

Bagaimanapun, kebakaran tersebut kini dilaporkan telah berjaya dikawal sepenuhnya dan para penduduk terjejas sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Ahad lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sepanyol kerap berdepan dengan fenomena gelombang haba yang lebih panjang dan kerap dengan suhu dilaporkan melebihi 40 darjah Celsius, sekali gus mewujudkan keadaan yang sangat berisiko untuk berlakunya kebakaran hutan berskala besar.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, lebih daripada 393,000 hektar kawasan tanah musnah dijilat api pada 2025, sekali gus mencatatkan rekod kemusnahan terburuk dalam sejarah moden Sepanyol. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN