PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu bukti jelas bahawa penyatuan orang Melayu mampu mengukuhkan politik bangsa tersebut.
Katanya, walaupun bentuk dan mekanisme kerjasama itu masih belum jelas, ia wajar diterima sebagai satu langkah tepat ke arah kekuatan penyatuan politik orang Melayu.
“Walaupun bentuk kerjasama masih samar-samar dari segi bentuk dan ikatan, ianya perlu kita terima sebagai satu langkah ke arah kebersamaan untuk memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Keputusan PRN Johor 2026 baru-baru menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan UMNO meraih 36 kerusi, MCA lapan kerusi dan MIC empat kerusi.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mengingatkan bahawa kekuatan politik yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam serta mempertahankan kedaulatan negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan kekuatan itu bukan bertujuan menekan atau menafikan hak serta kepentingan kaum lain, sebaliknya digunakan demi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan bersama.
“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpandangan pendekatan yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan telah berjaya membawa kemakmuran kepada orang Melayu serta kaum-kaum lain.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang Melayu perlu terus bersatu dan memperkukuh kekuatan politik bagi memastikan kedaulatan serta hak terhadap tanah air terus terpelihara.- UTUSAN










