Suspek rogol dibuang sekolah

Suspek rogol dibuang sekolah

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat pelajar lelaki yang disyaki merogol rakan sekolah secara bergilir-gilir ming­gu lalu telah dibuang sekolah serta-merta selepas keputusan dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang sema­lam.

Bagaimana pun mereka ma­sih boleh mengambil pepe­rik­saan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi bukan di sekolah tersebut.

Sebaliknya mereka akan men­­­duduki peperiksaan itu di tempat berasingan yang dite­tapkan, sama ada di tempat tahanan atau di lokasi yang ber­asingan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Katanya, keadilan akan di­tegakkan justeru, sesiapa saja yang bersalah, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertegas dan mereka perlu dihukum.

“Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan SPM juga ti­dak sama sekali bermakna me­reka akan terlepas daripada hukuman.

“Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita berikan, sementara kes melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pentadbir di institusi pendidikan di bawah KPM di seluruh negara untuk mengambil tindakan dan mele­takkan keperluan mening­katkan pemantauan dan keber­kesanan aspek keselamatan di institusi masing-masing.

“Pada masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat juga disuruh untuk turut bersama bekerjasama memastikan ekosistem yang selamat untuk anak-anak di sekolah dan di luar sekolah,” katanya.

Kelmarin media melaporkan empat pelajar yang disyaki ter­babit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah akan tetap dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata golo­ngan bawah umur yang terbabit dalam perbuatan jenayah tidak kebal undang-undang.

Katanya, setiap perbuatan jenayah adalah kesalahan di sisi undang-undang tanpa mengira siapa pelakunya sama ada dewasa atau bawah umur.

Katanya, kerajaan juga memberi jaminan setiap kes rogol atau jenayah seksual akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan, manakala tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.

“Merogol adalah perbuatan jenayah dengan pertuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan dan bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.

“Faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.

“Undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengi­ra umur, walaupun bentuk mahkamah dan hukuman mungkin berbeza mengikut ka­tegori umur pesalah,” katanya.

Azalina, berkata persepsi bahawa pelaku bawah umur bebas daripada tindakan undang-undang adalah tidak benar kerana prinsip keadilan menuntut agar setiap jenayah dipertanggungjawabkan.

“Salah tetap salah, jenayah tetap jenayah. Undang-undang tetap terpakai tanpa me­ngira siapa pelaku, cuma bentuk mahkamah dan hukuman mungkin berbeza,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang berasingan bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Perkara itu akan diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas menilai kelebihan dan kekura­ngan pendekatan berkenaan.

“Kita mahu menentukan sama ada perlu satu undang-undang untuk semua atau dua rangka kerja berasingan iaitu satu untuk individu bawah umur 18 tahun dan satu lagi untuk orang dewasa,” katanya.

Kerajaan turut bercadang menubuhkan tribunal antibuli sebagai saluran alternatif kepada mangsa khususnya mereka yang tidak berpuas hati dengan prosedur siasatan pihak berkuasa termasuk sekolah.

Katanya, tribunal itu akan berfungsi sebagai platform separa kehakiman yang dapat mempercepat penyelesaian kes melalui proses pengantaraan atau tindakan bersifat hukuman secara tertutup.

“Tribunal ini tidak tertakluk kepada kes jenayah lain yang dikendalikan polis, jadi pro­sesnya akan lebih cepat.

“RUU ini juga akan memperkenalkan takrifan undang-undang yang lebih jelas berkaitan buli termasuk pen­deraan fizikal, lisan, emosi, sosial dan siber,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN