Suri rumah didenda RM10,000 ugut sebar gambar bogel

Suri rumah didenda RM10,000 ugut sebar gambar bogel kenalan lelaki

TERTUDUH (kiri) diiringi oleh seorang anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang kenalan lelaki, Jun lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Gara-gara mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang lelaki yang dikenalinya melalui media sosial Jun lalu, seorang suri rumah didenda sebanyak RM10,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majsitret di sini, hari ini.

Tertuduh, Nur Husna Noor Baharuddin, 33, yang juga ibu kepada enam orang anak membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Selain mengenakan denda, mahkamah turut memerintahkan supaya tertuduh dipenjara sehingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun dengan mendatangkan ketakutan menerusi telefon sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,750.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1 di sini pada pukul 3.30 pagi, 14 Jun lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh menerusi aplikasi Facebook pada 12 Jun lalu sebelum wanita itu menawarkan untuk menghantar gambar serta video bogelnya.

Mangsa yang terpedaya, bersetuju dan menerima kandungan lucah tersebut melalui aplikasi WhatsApp. Bagaimanapun, dua hari kemudian, tertuduh mula mengugut akan menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial sekiranya tidak diberikan wang tunai sebanyak RM3,750.

Akibat ketakutan, mangsa seterusnya membuat 10 transaksi pindahan wang ke akaun tertuduh, namun, wanita itu terus menuntut bayaran tambahan sehingga mangsa yang kehabisan wang tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, ketika sesi prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Farah Hamizah Hasan Gani dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman denda minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu kepada enam anak termasuk bayi berusia enam bulan serta seorang anak autisme yang berusia dua tahun.

“Anak guam saya juga merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan masih menanggung kedua ibu bapanya ketika ini,” kata Farah Hamizah yang memberitahu, kesalahan tersebut adalah kesalahan yang pertama dilakukan oleh wanita berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN