Sultan Mizan rasmi sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman 

Sultan Mizan rasmi sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman 

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan melawat persekitaran sekolah pada Majlis Perasmian Karnival Seabad Gemilang Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) yang berlangsung penuh bersejarah di pekarangan sekolah itu, di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Sri Muhammad Mua’az; Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Datuk Sri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’ yang menceriakan lagi suasana sambutan bertemakan ‘Seabad Gemilang 1921’.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, majlis berprestij itu menyatukan warga sekolah, alumni dan masyarakat dalam satu acara yang mengimbau sejarah panjang serta pencapaian gemilang SMKSS sejak ditubuhkan lebih satu abad lalu.

“Sambutan 100 tahun ini bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi satu penghormatan kepada seluruh warga pendidik, pelajar dan alumni yang meletakkan SMK Sultan Sulaiman sebagai antara sekolah terunggul di negeri dan negara.

“Ia menjadi bukti bahawa kecemerlangan berasaskan tradisi boleh diteruskan dengan semangat kebersamaan dan visi yang jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman yang turut dihadiri Pengetua SMKSS, Mohd Fazli Yusof.

Tengku Farok Hussin yang juga alumni sekolah itu berkata, sambutan ini bukan sahaja mengimbau nostalgia zaman persekolahan, tetapi meraikan pencapaian cemerlang bekas pelajar yang mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, sambutan ulang tahun ke-100 sepatutnya diraikan pada tahun 2021, namun terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

“Selepas tiga tahun, majlis yang dinanti-nantikan itu akhirnya direalisasikan dengan pelbagai pengisian termasuk pameran sejarah sekolah, pertandingan kebudayaan, himpunan alumni, serta acara kemuncak iaitu Majlis Makan Malam Gala pada 10 November ini,” katanya.

Menurut beliau, dana yang dijana menerusi jualan meja makan malam digunakan sepenuhnya untuk pembangunan sekolah, antaranya pembinaan dewan terbuka baharu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.3 juta.

Antara alumni yang telah mencipta nama ialah pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus dan pelumba motosikal antarabangsa Qabil Irfan Azlan, selain ramai tokoh profesional dalam bidang pendidikan, undang-undang, perniagaan, perubatan dan seni budaya.

Pada sambutan itu, Sultan Mizan turut berkenan merasmikan ‘Galeri Junjung Setanggi’ yang menghimpunkan kisah kejayaan bekas pelajar dari pelbagai dekad. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN