Jho Low mesti diadili di Malaysia - Pas

Jho Low mesti diadili di Malaysia – Pas

TUAN Ibrahim Tuan  Man (tengah) semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pasir Mas di Meranti, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mesti dibawa pulang dan diadili di Malaysia, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang dan perlembagaan sendiri dan tidak perlu menuruti apa yang diputuskan oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dalam isu pengampunan terhadap ahli perniagaan itu.

Katanya, negara ini sangat terkesan dengan tindakan Jho Low terutama dalam sudut ekonomi.

“Sehubungan itu, kita (pembangkang) mendesak agar Jho Low dihadapkan ke mahkamah di atas tindakannya selama ini. Mahu buktikan dia bersalah atau tidak, itu kemudian. Tetapi dia perlu diadili,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pasir Mas di Meranti, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk AS berkaitan isu Jho Low walaupun negara negara itu sudah melakukan tindakan positif dengan memulangkan wang 1MDB yang dirampas sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun isu Jho Low tidak berkaitan dengan A.S dan negara tidak hanya menuntut wang berkenaan dikembalikan, malah kesalahan dilakukan mesti dihukum.

“Dia (Jho Low) langgar undang-undang di Malaysia dan dia mesti didakwa di negara ini. Sepertimana United Kingdom (UK) tiada hak  membebaskan Jho Low kerana dia bukan buat kesalahan di negara itu.

“Kesalahan dilakukan di negara kita, berkaitan duit negara kita dan dana negara kita. Jadi kita kena bertindak dan harap pihak polis segera buat dakwaan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN