PETALING JAYA: Rakyat Johor memerlukan pimpinan dan wakil rakyat yang cerdik menilai keutamaan, berani membuat keputusan dan benar-benar memahami denyut nadi mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) akan terus membawa suara rakyat, mempertahankan kepentingan Johor dan mengangkat negeri itu menjadi sebuah negeri lebih maju dan hebat untuk semua.
“Johor Ke Depan. Undi Harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri mempunyai jadual yang padat sepanjang dua hari berada di Johor bermula hari ini bagi memberikan dukungan kepada 56 calon serta jentera parti sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Anwar yang juga Pengerusi PH akan memulakan siri program dengan Program Kita Genk Madani x Anak Muda Bukit Batu di Kulai pada pukul 3.30 petang.
Beliau kemudian dijadual menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Pimpinan Masyarakat Johor di Johor Bahru pada pukul 4.50 petang, sebelum ke program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) di Tampoi pada pukul 6 petang.
Pada sebelah malam, Anwar dijadual menghadiri Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX di Taman Tampoi Indah pada pukul 7.45 malam dan Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX di sebuah restoran pada pukul 8.35 malam.
Beliau turut dijadual menghadiri Dialog Belia Johor di Dewan Felda Ulu Tebrau pada pukul 9.30 malam dan Malam Anak Muda Kempas di Kempas pada pukul 10.45 malam.
Pada Ahad pula, beliau dijadual memulakan program dengan santai sarapan bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang di Warung Pak Din, Kampung Sahri di Simpang Renggam pada pukul 8.55 pagi, diikuti Majlis Ramah Mesra Bersama PMX DUN Senggarang di Batu Pahat pada pukul 10 pagi.
Anwar turut dijadual menghadiri Kenduri Rakyat Bersama PMX di Semerah, Batu Pahat pada pukul 11 pagi dan program Temu Anwar serta Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning, Muar pada pukul 12.15 tengah hari.
Pada sebelah petang dan malam Ahad, beliau dijadual menghadiri Jelajah Harapan Felda Bersama PMX di Dataran Putra Palong Timur 2, sesi ramah mesra di DUN Pemanis, Segamat dan DUN Gambir, sebelum menutup siri program dengan Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati, Tangkak pada pukul 9 malam.
PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini manakala pengundian awal pada 7 Julai. – UTUSAN










