STAR, SAPP keluar GRS taktik lapuk - Ahmad Zahid

STAR, SAPP keluar GRS taktik lapuk – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan taktik politik lapuk menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu dilihat sebagai strategi kedua-dua parti untuk bertanding atas lambang parti masing-masing bagi meraih sokongan pengundi.

Beliau menjangkakan kedua-dua parti itu kembali bekerjasama selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan negeri.

“Bacaan (jangkaan) saya, apabila STAR dan SAPP tinggalkan GRS, ini merupakan vertical taktik untuk mereka bertanding dengan lambang masing-masing.

“Nanti mereka akan bersama semula apabila mahu membentuk kerajaan negeri, tetapi saya mahu beritahu pengundi-pengundi bahawa taktik ini adalah taktik lama dan saya rasa pengundi di Sabah akan bertindak pintar untuk menolak taktik yang dibuat parti politik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN Sabah, selaras dengan ketetapan parti.

“Sebagaimana ketetapan dibuat oleh UMNO dan BN, kita hanya menjalin kesepakatan dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah. Perkembangan dalam parti-parti gabungan GRS adalah di luar daripada keputusan yang kita buat,”katanya.

Terdahulu, pada Khamis lalu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan berkata, GRS mengesahkan keanggotaan STAR dan SAPP dalam gabungan itu tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada PRN-17. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN