SPRM, AADK perkasa integriti tempat kerja bebas dadah - Utusan Malaysia

SPRM, AADK perkasa integriti tempat kerja bebas dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Usaha memperkukuh integriti dan profesionalisme warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) 2025 yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Program selama tiga hari bermula 15 Oktober lalu itu memberi penekanan kepada latihan pentauliahan pengendalian ujian saringan awal air kencing bagi memastikan pelaksanaannya menepati piawaian integriti serta tatakelakuan profesional yang digariskan oleh SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar memberi kemahiran teknikal kepada pegawai, sebaliknya memperkukuh kefahaman mereka terhadap nilai integriti, etika dan tanggungjawab moral ketika menjalankan tugas.

“Ujian saringan itu menuntut pematuhan terhadap piawaian integriti serta kelayakan moral tertinggi kerana ia mencerminkan imej dan kredibiliti SPRM,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Klana Beach Resort, di sini.

Menurut beliau, pelaksanaan TEKAD turut sejajar dengan Nota Kerjasama SPRM dan AADK yang dimeterai April lalu,sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas dadah.

Dalam majlis berkenaan, seramai 39 pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme serta Bahagian Keselamatan SPRM menyertai program berkenaan yang turut melibatkan sesi bimbingan dan perkongsian kepakaran daripada AADK.

Program itu menjadi bukti komitmen berterusan SPRM dalam memastikan warga kerjanya mengekalkan tahap integriti tertinggi, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keupayaan suruhanjaya berkenaan melaksanakan amanah dengan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa, serta Pegawai Bahagian Pencegahan, Ibu Pejabat AADK, Masliza Omar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN