Pelancong Malaysia mula guna laluan baharu ke Hat Yai

Pelancong Malaysia mula guna laluan baharu ke Hat Yai

KENDERAAN termasuk milik rakyat Malaysia beratur panjang di CIQ Sadao baharu untuk menyelesaikan urusan dokumentasi sebelum meneruskan perjalanan ke Hat Yai dan destinasi lain di Selatan Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Pelancong Malaysia yang menuju Hat Yai dan beberapa destinasi lain di selatan Thailand mula menggunakan laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao.

Tinjauan Mingguan Malaysia pada hari pertama pengoperasian semalam mendapati, pengguna mula melalui jajaran baharu itu seawal pukul 6 pagi selepas ia dibuka kepada orang ramai sebagai alternatif untuk ke Hat Yai tanpa perlu melintasi pekan Dannok yang sinonim dengan aktiviti rentas sempadan, sebelum ini.

Perjalanan dari ICQS Bukit Kayu Hitam sehingga ke pos kawalan akhir negara bergerak lancar tanpa kesesakan, sebelum pengguna mempunyai pilihan sama ada meneruskan perjalanan ke CIQ Sadao baharu atau membelok untuk ke bangunan CIQ lama dan singgah di pekan Dannok.

Bagaimanapun, perjalanan ke CIQ Sadao baharu didapati berlaku sedikit kesesakan memandangkan kenderaan bertembung dari pekan Dannok untuk pulang ke Malaysia dengan kenderaan yang baru tiba untuk urusan kemasukan ke Thailand.

Seorang pengguna, Shafiqah Fauzi, 29, berkata, papan tanda yang dipasang berhampiran pintu sempadan memudahkan pengguna mengenal pasti laluan mengikut destinasi sebelum meneruskan perjalanan.

“Pembukaan laluan baharu ini memberi pilihan kepada orang ramai sama ada untuk ke Danok menggunakan laluan pintasan baharu atau ke Hat Yai dan destinasi lain melalui ba­ngunan CIQ Sadao baharu.

“Tapi saya rasa masih akan berlaku kesesakan pada cuti panjang nanti kerana kenderaan nak pulang ke Malaysia dari pekan Dannok akan bertembung dengan yang baru sampai kecuali kalau dari Hat Yai terus belok ke kiri ikut jajaran baharu sepenuhnya,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul merasmikan jajaran baharu yang meng­hubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao.

Rakyat Thailand yang kerap berulang-alik merentasi sempadan, Mat Li Daman, 59, pula berkata, CIQ Sadao baharu lebih selesa kepada pelancong terutama rakyat Malaysia yang kerap bercuti ke negaranya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN