WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk ‘memusnahkan’ Iran sebagai membalas ancaman Teheran yang didakwa menyasarkan beliau.
Trump mengeluarkan kenyataan itu menerusi platform Truth Social selepas pegawai kanan AS menggesa Teheran membuat pengumuman secara terbuka untuk berhenti menyerang kapal di Selat Hormuz dan menjamin semua laluan di perairan berkenaan.
Dalam kenyataan itu, Trump mendakwa AS menyediakan kekuatan ketenteraan yang besar sebagai tindak balas terhadap sebarang ancaman ke atas dirinya.
“1,000 peluru berpandu sedang dikunci dan bersedia untuk dilancarkan ke arah Republik Islam Iran, dengan ribuan lagi akan menyusul serta-merta sekiranya kerajaan Iran bertindak terhadap ancamannya,” kata Trump.
Beliau mendakwa, ancaman itu dibuat susulan wujud cubaan atau rancangan membunuhnya, dipercayai merujuk demonstrasi rakyat Iran yang membawa sepanduk menyeru Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dibunuh semasa pengebumian bekas pemimpin tertinggi, Ali Khamenei, Khamis lalu.
“Tentera Amerika Syarikat akan ‘memusnahkan sepenuhnya’ dan menghancurkan semua kawasan di Iran. Segala puji bagi Allah,” katanya dalam kenyataan sama.
Sepanjang perang tersebut dan tempoh gencatan senjata tidak menentu, Trump berulang kali mempersendakan nama Allah dan mengeluarkan ancaman untuk memusnahkan tamadun Iran.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, membalas kenyataan itu semalam dengan menegaskan Teheran setakat ini masih menepati janjinya, bukan seperti Setiausaha Perbendaharaan AS yang melanggar perenggan 9 memorandum persefahaman (MoU).
Perkara itu merujuk kepada bahagian dalam MoU yang menyatakan Iran akan ‘mengekalkan status quo semasa program nuklearnya’, manakala AS tidak akan mengenakan sebarang sekatan baharu dan tidak akan menempatkan pasukan tambahan di rantau itu sementara menunggu perjanjian muktamad.
“Pelanggaraan itu menyusuli pelanggaran dan kesilapan langkah lain oleh Amerika. Realiti yang perlu diakui: Hanya pematuhan bersama boleh berlaku,” kata Araghchi.
Ketegangan terbaharu tercetus selepas pertukaran serangan minggu ini menggugat perjanjian rapuh yang bertujuan mengubah gencatan senjata berbulan-bulan kepada keamanan berkekalan, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik serantau kembali tercetus.
Delegasi AS dan Iran mengadakan satu pusingan rundingan secara langsung di Switzerland sejak pemeteraian MoU berkenaan, selain rundingan tidak langsung di Qatar, namun tiada tanda kemajuan diplomatik dicapai setakat ini.- AP/AFP









