KOTA TINGGI: Satu garis panduan prosedur standard operasi (SOP) khas bagi mengendalikan kes-kes kesalahan melibatkan kanak-kanak akan dilancarkan minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, garis panduan tersebut merupakan hasrat kerajaan yang mahu semua kes melibatkan kanak-kanak sama ada sebagai pelaku dan mangsa diselesaikan dalam tempoh satu tahun.
“Minggu depan, SOP khas bagi kes kanak-kanak akan dilancarkan di Istana Kehakiman pada 24 Oktober. Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Malaya juga telah bersetuju bahawa kes kanak-kanak mesti diberi keutamaan.
“Antara cabaran yang dikenal pasti sebelum ini ialah kelewatan kes disebabkan faktor seperti penangguhan, kekangan hakim dan logistik,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, antara isu penting ialah apabila kanak-kanak disabitkan kesalahan dan proses perbicaraan di mahkamah berbeza.
Beliau berkata, misalnya bagi kes jenayah seksual dan penyaksian kanak-kanak, mahkamah akan menyediakan bilik khas.
“Kita juga telah memperkenalkan van keterangan bagi mempercepatkan proses pengambilan keterangan kanak-kanak. Ini kerana kelewatan kes sering menyebabkan apabila mangsa dewasa, mereka enggan menjadi saksi kerana malu atau trauma,” katanya.
Katanya, van keterangan tersebut akan membantu kerana terdapat kanak-kanak yang tidak boleh bergerak sendiri ke mahkamah selain mereka yang perlu diurus selepas waktu sekolah. – UTUSAN










