KUALA NERUS: Skuad Terengganu FC (TFC) berputih mata di laman sendiri selepas tunduk 1-4 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Pasukan pelawat bermula garang apabila penyerang import, Ronald Ngah Wanja meletakkan skuad The Cats di depan seawal minit kelapan selepas menyambar hantaran licik Petrus Shitembi dari luar kotak penalti.
Empat minit kemudian, Ngah Wanja sekali lagi menghukum pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk mendahului 2-0. Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir selepas bola terkena tangan pemain pertahanan TFC, Diego Landis.
Penyerang berpengalaman dari Cameroon itu hampir melengkapkan hatrik peribadi pada minit ke-33 namun cubaan berbahayanya diselamatkan Suhaimi Husin sekali gus memastikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, anak buah Aidil Sharin Sahak terus menekan kubu tuan rumah dan menambah jaringan menerusi Danial Asri yang bijak memperdayakan pertahanan TFC sebelum menyudahkan bola ke dalam gawang untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Tuan rumah hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-61 namun sepakan Gabi da Silva tersasar ke kiri gawang. Bagaimanapun, kesilapan dilakukan Jimmy Raymond memberi sepakan penalti kepada TFC yang mudah disempurnakan Yan Mabella bagi gol pertama skuad Penyu.
Ketika tuan rumah rancak mengasak untuk merapatkan kedudukan, Kuching City FC pula menambah jaringan keempat selepas sepakan sudut diambil Petrus Shitembi tertanduk masuk oleh Mabella ke gawang sendiri pada minit ke-82. – UTUSAN











