PETALING JAYA: Persidangan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 minggu ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi rantau Asia Tenggara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara negara anggota.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mahu persidangan itu membawa keputusan konkrit yang dapat menjamin kestabilan politik, memperkukuh ekonomi serantau dan meningkatkan peranan Malaysia di pentas antarabangsa.
Seorang pekerja swasta, Azry Zuraidy, 28, berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN kali ini jelas menyerlahkan keupayaan Malaysia sebagai peneraju diplomasi serantau, bukan sahaja daripada segi penganjuran yang teratur dan berprestij, tetapi juga kemampuan negara menonjolkan suara Asia Tenggara di pentas global.
Menurutnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berpeluang membuktikan keupayaannya mengurus rundingan yang kompleks melibatkan kuasa-kuasa besar dunia dan negara jiran di rantau ini.
“Ia membuktikan kemampuan Malaysia memimpin perbincangan isu global seperti perdagangan, keselamatan maritim serta perdamaian serantau jelas meningkatkan reputasi diplomatik negara di mata dunia,” katanya.
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke sidang ini menarik perhatian ramai memandangkan ia merupakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia sejak memegang semula jawatan Presiden pada tahun lalu.
Selain menghadiri sesi plenari bersama pemimpin negara anggota, Trump dijangka membincangkan agenda berkaitan kestabilan serantau, keselamatan maritim serta peluang pelaburan dua hala.
Bagi eksekutif swasta, Irfan Hakim Shukri, 25, berkata, penganjuran persidangan itu berpotensi mencemerlangkan ekonomi negara melalui kerjasama strategik antara anggota ASEAN.
Katanya, platform itu amat penting untuk membincangkan isu ekonomi serantau secara menyeluruh, termasuk usaha memperkukuh rantaian bekalan, memperluas pasaran dan menarik minat pelabur asing ke negara ASEAN.
Sebaliknya, penjawat awam, Amzar Zafran, 30, mahu sidang itu memberi fokus kepada pembangunan teknologi digital dan ekonomi hijau yang boleh mempercepat kemajuan negara serta memastikan generasi muda tidak ketinggalan dalam persaingan global.
Katanya, dunia kini bergerak pantas ke arah transformasi digital dan penggunaan tenaga lestari, justeru ASEAN perlu berada di barisan hadapan dalam perubahan ini.
“Usaha memperkukuh ekosistem digital dan hijau bukan sahaja dapat menarik pelaburan baharu, tetapi juga dapat membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada generasi muda,” katanya.-UTUSAN










