PUTATAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya tidak mahu terburu-buru menyertai mana-mana parti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Shahelmey berkata, meskipun terdapat pelbagai spekulasi termasuk tindakan undang-undang oleh Barisan Nasional (BN), beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai parti atau platform yang bakal disertainya.
“Saya mengambil maklum terhadap perkara itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik.
“Seperti saya katakan, dalam politik ini tiga minggu adalah satu jangka masa yang agak lama. Macam-macam boleh terjadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif kepada kontinjen Putatan yang meraih pingat pada Kejohanan SAGA Sabah di Pejabat Daerah Putatan di sini, hari ini.
Shahelmy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Shahelmey dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Surady Bandy bakal berdepan tindakan saman RM100 juta, sekiranya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.
Shahelmey dan Andi Surady digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO, susulan tindakan tidak menyokong kepimpinan parti dalam episod Langkah Kinabalu pada 2023.
Shahelmey berkata, fokusnya kini adalah menunaikan tanggungjawab kepada rakyat di Putatan, sambil terus menilai pilihan terbaik bagi masa depan politiknya.-UTUSAN










