Penghidap kanser darah rayu bantuan tampung kos ubat

Penghidap kanser darah rayu bantuan tampung kos ubat

NURHIDAYAH Sahdun (kiri) bersama Rosnah Mohamad di rumah mereka di Taman Jaya Diri, Chenor, Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang gadis berusia 23 tahun dari Taman Jaya Diri, Chenor dekat sini, merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos ubat imunoterapi selepas disahkan menghidap kanser darah Hodgkin Lymphoma tahap empat, yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM9,000 bagi setiap pusingan rawatan.

Nurhidayah Sahdun disahkan menghidap penyakit itu pada April lalu selepas menjalani pemeriksaan lanjut berikutan mengalami simptom demam berpanjangan, batuk dan pendarahan.

Dia kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Bapanya, Sahdun Tan Said, 67, berkata, Nurhidayah menjalani kitaran pertama kemoterapi pada 12 Mei lalu namun mengalami kesan sampingan toksik sehingga menyebabkan rawatan kemoterapi barisan pertama tidak lagi sesuai diteruskan.

Katanya, pakar di Darul Makmur Medical Centre (DMMC) kemudian mencadangkan anak­nya menjalani rawatan menggunakan ubat imunoterapi Nivo­lumab, yang mempunyai kadar tindak balas tinggi terhadap pesakit Hodgkin Lymphoma, khususnya mereka yang tidak lagi sesuai menjalani kemoterapi konvensional.

“Bagaimanapun, ubat Nivo­lu­mab itu tidak ditanggung pihak hospital dan perlu dibeli sendiri oleh pesakit. Kos bagi satu pusingan rawatan dianggarkan mencecah RM9,000, jumlah yang sangat membebankan keluarga kami,” katanya ketika ditemui di Taman Jaya Diri.

Sahdun berkata, dia tidak lagi mampu bekerja selepas di­serang strok manakala isterinya, Rosnah Mohamad, 59, adalah seorang suri rumah.

“Sebelum ini saya melakukan kerja-kerja kampung dan pernah bekerja di sektor swasta. Dengan keadaan sekarang, kami memang tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu untuk meneruskan rawatan anak,” katanya.

Nurhidayah kini makin lemah dan dibantu bergerak selain perlu menjalani rawatan mengikut ja­dual bagi meningkatkan pe­luang sembuh.

Keluarga hanya harapkan ih­san orang ramai untuk menampung kos pembelian ubat dan perbelanjaan rawatan anak bongsunya itu.

Mana-mana pihak ingin mem­bantu boleh hulurkan sumbangan ke akaun Maybank 156020516088 atas nama Nurhidayah Sahdun atau hubungi Sahdun di talian 018-262 4311. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN