Pirlo ramal Sepanyol juara Piala Dunia 

Pirlo ramal Sepanyol juara Piala Dunia 

Andrea Pirlo memilih Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2026 berdasarkan persembahan pasukan itu sepanjang kempen kali ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Legenda Itali, Andrea Pirlo menjadikan Sepanyol sebagai pilihan utama untuk muncul juara Piala Dunia 2026 biarpun mengakui kejohanan kali ini sukar dijangka dan tidak mustahil akan terus menyajikan pelbagai kejutan.

Bekas arkitek tengah skuad Azzurri itu berkata, Sepanyol memiliki keseimbangan dari segi kualiti, corak permainan dan pengalaman di pentas antarabangsa.

“Saya rasa Sepanyol adalah calon kegemaran utama. Sudah tentu akan ada kejutan, tetapi bola sepak adalah permainan yang sukar dijangka, jadi apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Dalam masa sama, Pirlo turut meluahkan kekecewaan terhadap kemerosotan Itali yang sekali lagi gagal layak ke Piala Dunia selepas terlepas tiket ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.

Menurut juara dunia 2006 itu, kegagalan berulang kali tersebut merupakan satu bencana besar buat negara yang memiliki sejarah gemilang dalam bola sepak dunia dan Itali perlu segera membina semula kekuatan menjelang EURO 2028 serta Piala Dunia akan datang.

“Melihat situasi semasa, ia adalah tempoh yang sangat sukar buat pasukan kebangsaan Itali. Kami sudah terlepas tiga edisi Piala Dunia berturut-turut. Ini memang satu bencana besar.

“Ia bukannya sesuatu yang mudah untuk kami terima, tetapi inilah hakikat yang wajar kami terima berdasarkan tahap permainan kami sekarang. Kami perlu mula membina semula pasukan dan fokus kepada masa depan,” katanya.

Pirlo, yang membantu Itali menjulang trofi Piala Dunia di Berlin pada 2006, turut mengakui kejohanan kali ini sudah pun menyaksikan beberapa keputusan di luar jangkaan apabila Korea Selatan dan Uruguay tersingkir di peringkat kumpulan, manakala Jerman, Belanda dan Brazil turut gagal meneruskan cabaran. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN