WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata bernilai AS$1.96 bilion (RM7.98 bilion) bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara Arab Saudi ketika perang di Asia Barat semakin memuncak.
Antara sistem persenjataan yang dimohon kerajaan Arab Saudi ialah sekitar 20,000 sistem senjata pemusnah laser berketepatan tinggi (APKWS) beserta kepala peledaknya.
Menurut laman sesawang Tentera Laut AS, ia merupakan sistem kos rendah untuk memusnahkan sasaran yang mengehadkan kerosakan sampingan dalam pertempuran jarak dekat.
“Cadangan penjualan ini akan menyokong objektif dasar luar dan keselamatan negara AS dengan meningkatkan keselamatan sekutu utama bukan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menjadi tonggak kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di rantau Teluk.
“Ia juga akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menghalang ancaman semasa dan masa depan menerusi pengukuhan pertahanan tanah air, selain mempertingkatkan keserasian operasi dengan tentera AS serta pasukan serantau termasuk NATO.
“Cadangan penjualan ini tidak akan memberi sebarang kesan buruk terhadap tahap kesiapsiagaan pertahanan AS,” menurut Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
Syarikat BAE Systems yang berpangkalan di Nashua, New Jersey, akan menjadi kontraktor utama bagi urus niaga itu.
Kelulusan itu dibuat ketika Arab Saudi dilihat berada di ambang konflik baharu dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen. Ia dibuat selepas kumpulan itu melancarkan serangan peluru berpandu ke sebuah lapangan terbang di bandar Abha, selatan Arab Saudi pada Isnin.
Serangan Houthi itu berlaku selepas kerajaan Yemen menyerang Lapangan Terbang Sanaa bagi menghalang sebuah pesawat yang membawa pulang delegasi Houthi daripada menghadiri upacara pengebumian pemimpin tertinggi Iran mendarat. Houthi menyalahkan Riyadh atas serangan tersebut.
Langkah itu juga dibuat ketika AS meningkatkan siri serangan ke atas Iran selepas menguatkuasakan semula sekatan laut ke atas negara tersebut susulan tercetusnya semula peperangan antara kedua-dua pihak.– AFP










