Seorang lagi pengusaha kebun durian haram ditahan SPRM Pahang

Seorang lagi pengusaha kebun durian haram ditahan SPRM Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lagi peneroka haram ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di negeri ini.

Sumber memaklumkan, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam pada Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Raub.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara  2024 hingga tahun ini dan memperoleh keuntungan hasil aktiviti berkenaan yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya di sini semalam.

Sumber itu memaklumkan, penahanan berkenaan merupakan susulan kepada tangkapan lima pengusaha kebun haram yang dilakukan baru-baru ini bagi kes sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek serta saksi lain yang berkaitan,” katanya.

Pada 30 September lalu, media melaporkan penahanan lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, suspek berusia antara 40 hingga 60-an itu didakwa memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN