BANGKOK: Negara-negara Asia Tenggara mahu meneruskan pendekatan secara berperingkat terhadap Myanmar, namun kepimpinan negara itu masih kekal digantung daripada menyertai mesyuarat peringkat tinggi ASEAN.
Perkara itu disahkan Thailand pada Jumaat menjelang pertemuan pertama menteri luar blok itu dengan Myanmar sejak rampasan kuasa 2021.
Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe dijadual bertemu rakan sejawatannya dari negara anggota ASEAN dalam satu “mesyuarat tidak rasmi di Bangkok pada Ahad.
Filipina yang memegang jawatan pengerusi bergilir ASEAN tahun ini, mengesahkan pada Jumaat ia merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara menteri-menteri luar ASEAN dan Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
“Tidak semua pertemuan rasmi dan tidak rasmi yang diadakan bermakna Myanmar telah diterima semula ke dalam ASEAN.
“Mesyuarat ini merupakan langkah penting ke arah penglibatan secara berperingkat dan berprinsip dengan Myanmar.
“Ia bersifat rundingan tidak rasmi dan tidak mengubah pendirian atau keputusan ASEAN yang sedia ada berhubung situasi di Myanmar,” kata Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Maratee Nalita Andamo.
Beliau berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada semua pihak untuk bertukar pandangan secara terbuka dan meneroka jalan penyelesaian.
ASEAN menggantung penyertaan Myanmar dalam sidang kemuncak peringkat tinggi sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik pada Februari 2021, sekali gus mencetuskan perang saudara di negara itu.
Bagaimanapun, blok serantau itu masih belum mencapai kemajuan ketara dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang bertujuan menamatkan konflik melalui dialog nasional melibatkan semua pihak.
Menurut penganalisis, kesepakatan dalam kalangan negara anggota kini semakin longgar apabila terdapat negara yang mahu memanfaatkan beberapa perkembangan positif bagi membawa Myanmar kembali menyertai ASEAN, diketuai Thailand, manakala negara lain masih mengekalkan pendirian lebih tegas.
Kerajaan Thailand, Filipina dan Vietnam mengesahkan menteri luar masing-masing akan menghadiri mesyuarat Ahad ini.
Bagaimanapun, jurucakap Thailand berkata, senarai penuh kehadiran masih dimuktamadkan.
Beliau berkata, pilihan raya yang diadakan baru-baru ini di Myanmar, yang menyaksikan pemimpin rampasan kuasa Min Aung Hlaing mengambil alih jawatan sebagai presiden awam, membuka ruang baharu untuk libat urus meskipun proses pengundian itu dikritik kerana terlalu terbatas.
“Pilihan raya itu merupakan perkembangan penting dan peluang yang tidak wujud sepanjang lima tahun lalu,” katanya.
Filipina berkata, Menteri Luar Myanmar akan memberi taklimat kepada rakan sejawatannya mengenai situasi semasa di negara itu.
Menurut kumpulan pemantau ACLED, lebih 100,000 orang terbunuh sejak perang saudara tercetus di Myanmar.-AFP










