Seorang lagi mangsa nahas di Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia

Seorang lagi mangsa nahas di Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk pada 27 September lalu meninggal dunia hari ini.

Ini menjadikan dua mangsa maut selepas seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia dalam nahas itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga penjawat awam itu disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi tadi selepas menerima rawatan di hospital.

Katanya, jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarga apabila proses bedah siasat dijalankan. 

“Mangsa sepatutnya dipindahkan ke Hospital Putrajaya namun disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kajang dan proses bedah siasat juga dilakukan di hospital sama. Siasatan polis masih diteruskan dengan kertas siasatan yang sama,” katanya di sini.

Sebelum ini, polis memaklumkan kertas siasatan membabitkan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Sebelum ini media melaporkan, kemalangan kira-kira pukul 10.50 pagi membabitkan empat kenderaan  termasuk sebuah lori tiga tan yang membawa besi buruk itu mengorbankan seorang bayi lelaki berusia setahun, manakala tujuh lagi cedera.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan kegagalan brek lori terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN