Semua anggota misi UNIFIL setuju kekal hingga mandat tamat - Utusan Malaysia

Semua anggota misi UNIFIL setuju kekal hingga mandat tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesemua negara anggota yang menyertai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan setuju kekalkan penempatan pasukan masing-masing sehingga mandat tamat, November ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, perkara itu telah dibincang dan dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahawa tiada pasukan menamatkan penugasan lebih awal.

Bagaimanapun katanya, keputusan berhubung kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Pertahanan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Isu MALBATT ini telah dibincangkan di peringkat PBB, semua negara ahli bersetuju untuk kekalkan tentera mereka di sehingga tamat mandat yang berakhir, November ini. Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada Kementerian Pertahanan. Apa juga keputusan kementerian itu akan dibawa ke Kabinet.

“Kementerian Luar akan ambil tindakan susulan yang sewajarnya. Jika kita ambil keputusan sendiri untuk bawa keluar pasukan daripada Lubnan, ia akan menelan belanja yang amat besar.

“Jadi kalau sampai habis mandat nanti, di mana PBB akan membawa mereka keluar, ke mana mereka ditempatkan di situ nanti tentera kita akan ambil dan bawa mereka balik ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program makan tengah hari bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Ulu Tiram, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, ketika ini keselamatan anggota MALBATT berada dalam keadaan terkawal kerana mereka tidak ditempatkan di barisan hadapan khususnya kawasan konflik.

“Tiada apa-apa nak dironda lagi kerana kita pasukan pengaman, tempat itu tidak lagi aman kerana sudah jadi medan perang. Jadi kita minta anggota kita utamakan keselamatan dahulu sehingga apa-apa keputusan dibuat atau tamat tempoh mandat,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengulas kunjungan Perdana Menteri Thailand ke Malaysia hujung tahun ink bertujuan menghadiri dialog tahunan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

“Ada banyak perkara yang perlu kita rundingkan yang masih lagi belum selesai, terutamanya daripada segi hubungan dagang khususnya logistik. Ada juga isu sempadan perlu diselesaikan untuk menutup laluan tikus bagi mengekang penyeludupan.

“Perkara itu sedang diuruskan Majlis Keselamatan Negara untuk pastikan sempadan kita tidak bolos dan tidak menjadi laluan penyeludupan antara kedua-dua negara. Anggota tentera tidak boleh tahan orang, cuma polis sahaja boleh. Jadi kalau tentera mengawal sempadan tetapi tidak boleh tahan orang, tak guna juga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN