KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan penubuhan pusat transit bagi menempatkan pekerja asing yang baharu tiba di negara ini sebagai langkah drastik mengekang isu penempatan haram serta kegagalan majikan menyediakan tempat tinggal sewajarnya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pusat transit itu akan bertindak sebagai penempatan sementara bagi memastikan semua pekerja asing disaring terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada majikan masing-masing.
Menurutnya, inisiatif itu juga dirangka bagi menyelesaikan beberapa isu kritikal terutamanya masalah kesesakan luar biasa yang kerap berlaku di pintu masuk utama atau lapangan terbang negara.
“Kita mahu memastikan majikan yang memohon adalah majikan sebenar yang mengambil mereka bekerja. Kita tidak mahu membiarkan mereka terus keluar dari lapangan terbang tanpa pemantauan.
“Ada kes di mana mereka sepatutnya bekerja dengan majikan A tetapi pergi kepada majikan B atau C, malah ada yang datang ke sini semata-mata untuk merayau-rayau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan fasiliti itu bukanlah sebuah pusat tahanan atau penempatan kekal, sebaliknya berfungsi sebagai zon peralihan yang mengamalkan konsep kemasukan dan pelepasan pantas.
“Setiap pekerja asing akan dilepaskan dengan segera sebaik sahaja segala dokumen perjalanan dan pekerjaan mereka disahkan bersih serta teratur.
“Kalau ada yang dilepaskan lambat, mungkin kerana beberapa kesulitan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, sebuah Bahagian Pekerja Asing akan diwujudkan secara rasmi sebaik sahaja fungsi Pusat Sehenti (OSC) dikembalikan semula ke bawah portfolio Kementerian Sumber Manusia.
Kementerian juga akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat Ketua Setiausaha (KSU) bagi mengenal pasti lokasi paling strategik bagi pembinaan pusat transit kekal itu.
Sementara itu, sebuah bangunan sementara akan digunakan dalam tempoh terdekat sebagai fasa persediaan awal demi memenuhi mandat yang diberikan oleh kabinet.
Mengulas lanjut mengenai isu majikan culas dalam menyediakan tempat tinggal buat pekerja asing mereka, Ramanan berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kerja serta Akta Imigresen.
“JTK sentiasa menjalankan pemeriksaan harian kerana ini melibatkan isu keselamatan dan kesejahteraan pekerja.
“Kita bukan sahaja melihat isu mereka tidak mendapat tempat tinggal yang betul, malah ada kes gaji tidak dibayar yang turut dibawa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN










