Faham remuk hati Abby Abadi, Faizal titip doa untuk isteri - Utusan Malaysia

Faham remuk hati Abby Abadi, Faizal titip doa untuk isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Abby Abadi tampil mendedahkan kesedihan dan penderitaan yang sedang ditanggung oleh isterinya itu ekoran kontroversi keluarga yang tular baru-baru ini.

Muhammad Faizal Zakaria berkata, dia sangat mengerti perasaan Abby yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kecaman serta pandangan negatif orang luar mengenai isu anaknya itu.

“Bila sebut nama Abby Abadi, siapa tidak kenal dan siapa tidak tahu. Dalam pelbagai pujian, terselit juga cacian. Tapi, tidak mengapa, sentiasa memaafkan sebab mereka mungkin tidak kenal tidak pernah berada dalam lingkungan ini.

“Sayang, saya tahu macam mana remuknya hati dan perasaan sayang. Keluhan yang sentiasa dipendam. Walaupun sentiasa senyum, saya tahu hati sayang sentiasa menangis. Luka yang tidak akan hilangnya parut,” katanya menerusi satu hantaran di Tiktok.

Sementara itu, Faizal berjanji akan sentiasa berada di sisi Abby untuk menghadapi segala ujian tersebut bersama-sama sebagai suami isteri.

“Saya sentiasa doakan sayang hingga akhir hayat saya. Kalaulah segala beban itu boleh dipindah, saya nak tanggung. Saya cuma nak sayang gembira dan tak bersedih lagi. Saya bukan insan yang nampak hebat di luar tetapi saya tetap menjadi hebat untuk sayang.

“Saya takut kalau Allah panggil saya pulang lebih awal daripada sayang. Siapa yang akan dengar segala apa yang sayang hadapi, sentiasa ada ketika sayang sedih dan memeluk untuk tenangkan sayang. Moga anak-anak, Daiyan, Dayana dan Darda menjadi peneman serta penenang sayang dikala sedih nanti. Merekalah pengganti saya,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal turut mendoakan agar segala urusan Abby sentiasa dipermudahkan dan setiap pengorbanan isterinya itu dibalas dengan kebaikan.

“Ya Allah, sesungguhnya akulah saksi segala pengorbanan yang dilakukan isteriku sepanjang hayatku bersamanya. Bagaimana dia menjaga solatnya, auratnya dan segala-galanya kerana-Mu.
Bagaimana gembira dan kesedihannya hanya untuk orang lain, bukan untuk dirinya sendiri. Segala kesusahan kesulitan hanya untuk orang lain, besarnya pengorbanannya Ya Allah.

“Aku mohon padaMu Ya Allah, tunaikan setiap apa yang diinginkan, permudahkanlah dan tempatkannya nannti di syurga tertinggiMu Ya Allah. Sayang ada saya dan anak-anak, bila tiba masanya kita pergi jauh, jom kita hijrah. Ada masanya tempat kita duduk ini sudah tidak sesuai untuk kita,” katanya.

Luahan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan keretakan hubungan antara Abby dan anak keduanya, Marissa Dania, yang menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.

Untuk rekod, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, mendirikan rumah tangga bersama Faizal pada Ogos 2015 selepas perkahwinan terdahulunya bersama pelakon Norman Hakim berakhir dengan penceraian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN