KUALA LUMPUR: Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) ditahan tentera Zionis kira-kira 120 batu nautika dari Gaza, pagi semalam.
Lapan daripada mereka dilaporkan berada di atas kapal Conscience, manakala seorang lagi di kapal Umm Saad.
Mereka ialah Mohd. Alauddin; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Israel itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip hak asasi manusia.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan serta mencabuli maruah kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi kenyataan di dalam media sosialnya.
Perdana Menteri juga menuntut pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia, selain memastikan keselamatan mereka dijamin sepanjang tempoh tahanan.
“Kerajaan Madani akan menggunakan saluran diplomatik dengan negara sahabat dan pertubuhan antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kapal terbabit dipintas kira-kira pukul 5.50 pagi waktu Mesir (10.50 pagi waktu Malaysia) di perairan antarabangsa, pada jarak sekitar 120 batu nautika dari pesisir Gaza, sebelum ditunda ke Ashdod yang mengambil masa lebih 15 jam.
“Kapal pertama yang ditahan ialah Sunbird TMTG, sebelum lapan kapal lain turut dirampas. Kapal terakhir ialah Umm Saad,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MyCARE di Seri Kembangan, semalam.
Kamarul Zaman berkata, komunikasi terakhir dengan kapal delegasi Malaysia berlaku sekitar 10.30 malam waktu Malaysia kelmarin, apabila pasukan misi memaklumkan terdapat dron Israel menghampiri kawasan mereka sebelum hubungan terputus sepenuhnya pada 10.03 pagi semalam.
“Rakaman yang tular menunjukkan helikopter Israel memintas kapal Conscience apabila kelihatan rambut peserta melayang ditiup angin kuat daripada kipas helikopter,” katanya.
Pada 2 Oktober lalu, misi kemanusiaan Global Sumur Flotilla (GSF) yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk 23 aktivitis rakyat Malaysia belayar menuju ke Gaza turut dipintas dan ditahan tentera Zionis.
Kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Dalam pada itu, Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabar maruah kemanusiaan.
“Tindakan merampas kapal misi kemanusiaan ini adalah kezaliman nyata. Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada Wisma Putra, Pejabat Perdana Menteri dan keluarga delegasi Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, MyCARE telah menyediakan ruang khas di ibu pejabatnya bagi menyalurkan perkembangan terkini kepada keluarga sukarelawan Malaysia yang kini berada dalam tahanan rejim Zionis. – UTUSAN









