PM kongsi status terkini 9 aktivis Malaysia pada Belanjawan 2026 petang ini

PM kongsi status terkini 9 aktivis Malaysia pada Belanjawan 2026 petang ini

ANWAR Ibrahim ketika ditemui media selepas hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman, Presint 11 Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkongsi perkembangan terbaharu status pembebasan sembilan aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel sejak 8 Oktober pada sesi pembentangan Belanjawan 2026, petang ini.

Menurutnya, beliau dijangka akan menerima panggilan daripada wakil kerajaan Turkiye berhubung status terbaharu mengenai aktivis itu petang ini (sebelum pembentangan belanjawan).

“Dia (mereka) janji akan hubungi saya pukul 3.30 petang ini, jadi saya umum (status terbaharu) dalam belanjawan (Belanjawan 2026),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya status terbaharu pembebasan dan kepulangan sembilan aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel sejak 8 Oktober lalu.

Difahamkan, ketika ini, kerajaan sedang giat berusaha mendapatkan pembebasan segera dan tanpa syarat sembilan warganegara Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Israel sejak 8 Oktober lalu.

Kesemua mereka merupakan peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan ke wilayah Gaza.

Sebuah pesawat membawa aktivis Freedom Flotilla Coalition dari 22 negara dijangka tiba di Istanbul, Türkiye, hari ini berkemungkinan turut membawa sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan, pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi daripada Wisma Putra mengenai status aktivis berkenaan.

Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) itu melibatkan kira-kira 150 aktivis daripada 25 negara.

Mereka menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad sebelum dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN