GEORGE TOWN : Tindakan segelintir orang awam yang masih berdegil memberi makanan kepada merpati mengundang padah apabila sembilan individu dikompaun oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu operasi penguatkuasaan hari ini.
Kesemua mereka ditahan ketika berada di lokasi yang sama iaitu di Jalan Perak selepas didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan memberi makan kepada burung itu di kawasan awam.
Jurucakap MBPP berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan denda sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan.
“Pesalah yang masih ingkar serta individu yang gagal melunaskan kompaun akan berdepan tindakan mahkamah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut MBPP, langkah penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan kerana usaha memberi makanan kepada merpati secara berterusan menyumbang kepada pertambahan populasi burung tersebut, sekali gus menimbulkan pelbagai masalah termasuk berkaitan kebersihan di kawasan bandar.
“Antara isu yang sering dibangkitkan termasuk longgokan najis merpati yang mencemarkan kawasan awam, merosakkan struktur bangunan serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada masyarakat dan pelancong.
“Walaupun MBPP telah menjalankan hebahan serta pendidikan awam sebelum ini, masih ada individu yang tidak mengendahkan nasihat. Justeru, penguatkuasaan adalah langkah terakhir bagi memastikan peraturan dipatuhi,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan kawalan populasi merpati dapat dilaksanakan secara berkesan, MBPP juga menyusun atur operasi pemantauan harian di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan burung tersebut.-UTUSAN