RM433.6 juta kompaun dikutip melalui MyJPJ

RM433.6 juta kompaun dikutip melalui MyJPJ

JPJ komited memastikan keselamatan jalan raya dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dalam perkhidmatannya yang menjangkau usia 79 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan bayaran kompaun lebih RM433.6 juta menerusi apli­kasi digital MyJPJ dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu membabitkan 4.9 juta transaksi yang berjaya dikutip sejak Ogos 2023 hingga Mac lalu.

AEDY FADLY RAMLI

Katanya, ia membabitkan RM372.6 juta (4,364 transaksi) pada Ogos 2023, RM292 juta (3.4 juta transaksi) bagi sepanjang tahun 2024 dan RM141.1 juta bagi tiga bulan tahun ini untuk 1.47 juta transaksi.

“Dalam pada itu, kita berjaya merekodkan sebanyak RM39.27 juta melalui kadar kompaun khas RM150 sehingga 16 April lalu.

“Ia membabitkan saman AwAS melalui 243,008 saman iaitu RM36.5 juta), 14,760 saman bagi Notis 114 (RM2.2 juta) dan 3,686 saman untuk Notis 115 membabitkan bayaran RM552,900),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, JPJ komited bagi memastikan keselamatan jalan raya dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dalam perkhidmatannya yang menjangkau usia 79 tahun.

Katanya, pelbagai inisiatif digital telah diperkenalkan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat antaranya Aplikasi MyJPJ, Portal MySIKAP, Portal JPJeBid, pelaksanaan eTesting, JPJeQ.

“Pada tahun lalu, seramai 9.6 juta jumlah pelanggan menggunakan perkhidmatan di kaun­ter-kaunter JPJ (JPJeQ) di seluruh negara.

“Sempena sambutan Hari JPJ Ke-79, pihaknya mengetengahkan Reformasi, Sinergi dan Integriti. Pelbagai reformasi perubahan dari segi penyampai­an perkhidmatan selari dengan peningkatan teknologi, sebagai contohnya pengenalan Aplikasi MyJPJ pada tahun 2023.

“Inisiatif melambangkan komitmen JPJ dalam mendokong agenda pendigitalan negara, khususnya melalui peralihan penggunaan cukai jalan daripada bentuk fizikal kepada digital, sekali gus memudahkan urusan rakyat serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, JPJ akan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi lain melalui pe­nguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa bagi meningkatkan keberkesa­nan operasi dalam memastikan tindakan yang lebih menyeluruh terhadap isu keselamatan jalan raya termasuk kesalahan teknikal, kenderaan berat, serta pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

“Sebagai usaha memper­kukuh integriti dan meningkatkan tahap ketelusan dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan di lapangan, JPJ turut mengambil langkah proaktif ke arah penggunaan kamera badan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN