10,000 ekor ayam disita, pemilik ladang beroperasi tanpa lesen

10,000 ekor ayam disita, pemilik ladang beroperasi tanpa lesen

Ayam disita
PEGAWAI veterinar menyita 10,000 ekor ayam dari sebuah ladang ternakan selepas didapati gagal membayar kompaun dan tidak mengendahkan aduan penduduk, dekat Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Akibat aduan dan kompaun tidak diendah, pemilik sebuah ladang ternakan terpaksa berputih mata selepas 10,000 ekor ayamnya disita oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, hari ini.

Ini kerana, ladang yang beroperasi tanpa lesen dekat Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat di ini itu dikesan mencetuskan masalah bau busuk yang mengganggu penduduk berdekatan.

Pengarah JPV Selangor, Dr. Hassuzana Khalil berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kira-kira tiga bulan lalu sebelum mengeluarkan notis kompaun kepada pemilik, namun ia tidak dibayar.

“Sebelum ini kami mengenakan kompaun RM2,000 kepada pemilik selepas membuat pemeriksaan. Namun ia tidak dibayar. Oleh sebab itu, hari ini kami mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Kami menyita kesemua ternakan tersebut serta merobohkan ladang yang terdiri daripada lima reban di atas tanah seluas kira-kira lima ekar (dua hektar),” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut, hari ini.

Tambahnya, kesemua ayam yang disita itu berusia kira-kira 40 hari dengan nilai sitaan berjumlah RM50,000.

Dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi itu, beberapa individu dipercayai pekerja ladang berkenaan cuba mengganggu pemeriksaan dengan menutup pintu masuk bagi menghalang 30 anggota dan pegawai JPV Selangor serta tiga anggota polis.

Tambah Hassuzana, pemilik ladang dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9, Enakmen Perladangan Unggas 2007 iaitu menjalankan atau mengusahakan perladangan unggas tanpa lesen.

Manakala tindakan sitaan diambil di bawah Seksyen 25(2) enakmen sama.

“Polis turut menahan seorang pekerja ladang itu, dipercayai warga Bangladesh berumur lingkungan 30 tahun kerana tidak memiliki dokumen yang sah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN