JOHOR BAHRU: Johor merekodkan jumlah peningkatan kompaun sebanyak lima kali ganda berkait usaha membanteras premis perniagaan dikendalikan warga asing secara tidak sah, setakat Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, nilai kompaun meningkat daripada RM30,000 pada 2024 kepada RM180,000 setakat tahun ini.
Katanya, berdasarkan laporan penguatkuasaan di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT), data menunjukkan peningkatan ketara dalam setiap komponen tindakan penguatkuasaan tahun ini berbanding 2024.
“Ini menggambarkan kesungguhan PBT memperhebat tindakan serta menghalang pengulangan kesalahan. Secara keseluruhan, prestasi ini membuktikan bahawa usaha membanteras aktiviti perniagaan warga asing tanpa lesen dilaksanakan secara lebih tegas, agresif dan menyeluruh sepanjang 2025.
“Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, tindakan sitaan barangan, pengeluaran kompaun, pembatalan lesen, penutupan premis serta rampasan lesen bergantung kepada tahap, risiko dan jenis pelanggaran undang-undang.
“Hasil operasi sepanjang tempoh tersebut, laporan penguatkuasaan merekodkan 158 notis kesalahan, 304 kompaun dan 552 tindakan sitaan, selain penutupan sementara premis dengan pemasangan tali kuning sebagai langkah kawalan dan pencegahan pengulangan kesalahan,” katanya.
Mohd. Jafni menjawab soalan lisan Tan Eng Meng (BN-Pekan Nanas) mengenai tindakan terhadap premis dikendalikan warga asing tanpa kebenaran pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Mohd. Jafni berkata, kebanyakan premis terlibat dimiliki warga tempatan, namun berlaku penyalahgunaan pemilikan lesen dengan menyerahkan pengurusan kepada warga asing melibatkan sektor seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan pusat cuci kereta.
“Tindakan tegas telah diambil untuk membanteras penyalahgunaan pemilikan lesen ini. Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah memperkenalkan dasar lebih ketat, termasuk larangan mengambil pekerja asing dalam sektor peruncitan serta tidak meluluskan lesen kepada pemohon yang dikesan menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” katanya. – UTUSAN










