Sektor pembinaan diunjur berkembang 6.1 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan diunjur berkembang 6.1 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR pembinaan diunjur terus berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2026 didorong oleh prestasi positif dalam semua subsektor, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.

Jelasnya, sektor itu akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan pelaburan strategik dan permulaan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Subsektor kejuruteraan awam dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan melalui projek infrastruktur dan utiliti berskala besar seperti LRT Laluan Mutiara, Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Grid Tenaga ASEAN.

“Subsektor bangunan bukan kediaman diunjur terus mengukuh disokong oleh permintaan tinggi bagi kemudahan perindustrian, hab logistik dan pusat data sejajar dengan pengembangan industri berteknologi tinggi serta digitalisasi.

“Selain itu, subsektor bangunan kediaman juga dijangka meningkat disokong oleh pelaksanaan programperumahan mampu milik dan inisiatif pemilikan rumah bersasar di bawah inisiatif RMK13 serta pembangunan projek baharu oleh sektor swasta.

“Subsektor aktiviti pembinaan khas turut berkembang disokong oleh permintaan berterusan bagi penyediaan tapak, kerja mekanikal dan elektrik serta kerja-kerja akhir,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan itu menunjukkan sektor perlombongan diunjur menyusut sebanyak 1.0 peratus yang mencerminkan prestasi suram merentas semua subsektor.

“Subsektor gas asli dijangka merosot terutamanya disebabkan oleh pengeluaran lebih rendah di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta permintaan yang sederhana daripada negara pengimport utama seperti Jepun, China dan Republik Korea.

“Secara keseluruhan, pengeluaran gas asli dijangka lebih perlahan walaupun beberapa projek baharu dijadual mula beroperasi termasuk Rosmari & Marjoram di Sarawak di samping Irong Timur dan Kurma Manis di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, subsektor minyak mentah dan kondensat diunjur menyusut dipengaruhi oleh pengeluaran lebih rendah di Sabah. Dari segi harga, purata minyak mentah Brent dijangka berada antara AS$60 (RM252.82) hingga AS$65 (RM273.89) setong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×