KUALA TERENGGANU: Gara-gara mahu mengelak kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang pemilik lori sanggup membakarnya dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Kuala Nerus, dekat sini, hari ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu berlaku ketika pasukan rondaan JPJ mengesan lori berkenaan yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, pemeriksaan mendapati lori itu dipandu remaja bawah umur dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh lebih dua tahun.
“Selain itu, kenderaan berkenaan gagal menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sejak 2023.
“JPJ mengambil tindakan untuk menyita lori berkenaan mengikut peruntukan undang-undang, namun pemiliknya yang tiba di lokasi enggan memberi kerjasama sebelum membakarnya tersebut dalam cubaan menghalang tindakan sitaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri berkata, tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan anggota penguat kuasa JPJ yang berada di lokasi malah mengganggu tugas penjawat awam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik syarikat terbabit mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu termasuk kesalahan memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur di bawah 17 tahun dan dua kesalahan mengubah suai kenderaan.
Katanya, JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau cuba menghalang tugas penguat kuasa.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja menjejaskan integriti undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan kepada anggota JPJ serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Menurut beliau, tindakan akan diambil mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selain disabitkan kesalahan mengganggu tugas penjawat awam.
Katanya, kes ini juga dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja. – UTUSAN









