KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy yang mencabar kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikan sebagai Perdana Menteri.
Permohonan tersebut difailkan pada 10 Oktober lalu melalui firma guaman Tetuan Daniel & Wong di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 12 Ogos lalu, Waytha memfailkan saman pemula dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal mencabar pelantikan tersebut atas alasan Presiden PKR itu telah disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut notis yang difailkan, Anwar memohon itu dibatalkan serta-merta atas alasan tindakan Waytha, secara substans dan kesannya, mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Tambun.
Sehubungan itu, tindakan undang-undang itu bercanggah dengan Seksyen 33, 34 dan 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Permohonan tersebut tidak dikemukakan di hadapan Hakim Pilihan Raya dan difailkan di luar tempoh masa mandatori. Malah, plaintif tidak mempunyai locus standi untuk mencabar keputusan pilihan raya.
“Tindakan plaintif (Waytha) berunsur politik, dilakukan bagi memperoleh kepentingan politik peribadi, mengekalkan pengaruh serta mengganggu defendan (Anwar),” katanya.
Anwar turut mendakwa saman berkenaan tidak berasas, remeh dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Dalam masa sama, beliau turut memohon supaya prosiding saman pemula digantung sementara menunggu keputusan penuh permohonan untuk membatalkannya saman terbabit.
Waytha, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 2018 hingga 2022, difahamkan memfailkan saman berkenaan bagi mencabar kesahihan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada tahun 2018.
Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam pilihan raya umum berkenaan adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.










