PETALING JAYA: Pelakon, Sheila Mambo mendedahkan bahawa dia kini sudah hampir setengah tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon dari mana-mana syarikat produksi.
Sheila atau Rusilawati Hassan, 63, berkata, dia terpaksa bergantung dengan berlakon drama pendek atau ‘microdrama’ sejak tahun lalu lagi.
Sheila mengakui dia sendiri tidak tahu punca perkara itu berlaku, namun tetap reda dan menganggap situasi tersebut sebagai belum rezekinya lagi.
“Sehingga kini saya memang sudah tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Saya sudah setengah tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon.
“Tahun lalu pun saya cuma bergantung kepada projek drama pendek sahaja. Saya sendiri tidak tahu mengapa perkara ini terjadi,” katanya.
Sheila berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Bacaan Doa Selamat serta Pelancaran Pratonton dan Poster Rasmi Filem Tiket Sehala di Tomaz Pickleball Club, semalam.
Dalam pada itu, Sheila menjelaskan bahawa bayaran harian yang diterima daripada projek drama pendek tersebut masih memadai untuk menyara kehidupan.
Malah, dia turut menegaskan kadar bayaran harian yang diberikan oleh pihak produksi terlibat adalah munasabah dan tidak menindas.
“Kadar bayaran harian drama pendek ini tidaklah terlalu rendah. Pihak produksi akan membayar mengikut jumlah hari bekerja, misalnya sekitar RM1,500 jika penggambaran berjalan selama tiga hari.
“Jadi, sekiranya dalam sebulan saya boleh mendapat tawaran daripada tiga tempat produksi drama pendek, jumlah itu sudah memadai bagi saya,” katanya.
Sementara itu, Sheila mengingatkan rakan-rakan artis bahawa status sebagai seorang pelakon tidak pernah berubah meskipun mereka hanya terlibat dalam naskhah drama pendek.
“Bukan bermakna kita tiada pilihan lain, tetapi jika itu sudah jalan usahanya, kita terima sahaja. Walaupun sekadar drama pendek, status anda tetap seorang pelakon yang perlu membawa imej itu dengan baik.
“Bawalah watak tersebut dengan elok dan uruskan diri dengan betul di set penggambaran. Lakukan tugas anda sehabis baik seperti apa yang diperlukan dalam skrip atau yang diminta oleh pengarah,” ujarnya.
Untuk rekod, Sheila menggalas watak sebagai seorang ibu dalam filem Tiket Sehala yang akan ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos 2026.










