Chegubard didenda RM5,000, bersalah atas penerbitan hasutan - Utusan Malaysia

Chegubard didenda RM5,000, bersalah atas penerbitan hasutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan tertuduh adalah pesalah kali pertama.

Beliau berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang kes berlangsung selama dua tahun selain dilihat berperanan sebagai ‘whistle blower’ kepada kes-kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara yang membawa kepada siasatan pihak berkuasa.

“Kami memohon mahkamah mengambil kira anak guam kami sebagai aktivis politik dan ahli sebuah parti baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang baharu diterima sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Chegubard dijangka akan bertanding sebagai calon mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi. Oleh itu, kami mohon hukuman denda diberi dan jumlah denda adalah di bawah RM2,000 bagi membolehkan anak guam kami bertanding pada PRN,” kata Muhammad Rafique dalam rayuannya.

Sementara itu, dalam hujahan pemberatan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman berkata, tertuduh bukanlah pesalah muda malah mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang.

“Oleh kerana kesalahan dibuat pada usia 46 tahun, sepatutnya pada usia itu tertuduh sudah menunjukkan kematangan untuk hidup secara harmoni dalam negara. Tertuduh juga mempunyai pengetahuan undang-undang, tetapi memilih membuat hantaran berbentuk menghasut. Denda semata-mata tidak memadai dalam kes ini,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City di media sosial kira-kira pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman dan dihadiri peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia, Cheong Wen Yie.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN