GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang memperhebat pemantauan dan operasi membanteras kegiatan judi bola sepak haram menjelang peringkat suku akhir Piala Dunia 2026 bagi mengekang peningkatan aktiviti pertaruhan sepanjang kejohanan itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, sehingga kini, seramai 31 individu telah ditahan menerusi 26 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri.
“Operasi itu masih diteruskan pada masa ini dan statistik keseluruhan hanya akan diumumkan selepas tamat saingan Piala Dunia,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Sempena lawatan itu, Dennis turut menyempurnakan majlis pelupusan barang kes (kes jenayah) yang membabitkan pelupusan barang kes bernilai RM1.28 juta melibatkan 565 kertas siasatan.
Mengulas lanjut mengenai judi bola sepak, Dennis berkata, daripada 31 individu yang ditahan itu, enam daripada mereka merupakan warga China, manakala selebihnya adalah warga tempatan.
“Daripada segi lokasi serbuan pula, tiada ‘hotspot’ atau tempat yang spesifik kerana sekarang kegiatan pertaruhan haram boleh dijalankan di mana-mana sama ada di rumah, apartmen mahupun premis perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan teknologi termasuk penggunaan telefon pintar turut memudahkan sindiket menjalankan aktiviti perjudian secara dalam talian.
Justeru, katanya, polis memerlukan kerjasama daripada seluruh masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut dengan sasaran untuk melumpuhkan kegiatan berkenaan menerusi penahanan dalang serta serbuan ke pusat-pusat operasi pertaruhan haram yang terlibat.
“Maklumat daripada orang ramai ini amat penting bagi membolehkan polis mengesan rangkaian sindiket yang lebih besar dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” ujar beliau. – UTUSAN










