England berdepan ‘mesin gol’ Haaland buru tiket separuh akhir

England berdepan ‘mesin gol’ Haaland buru tiket separuh akhir

Pemain england melakukan persiapan bagi menghadapi Norway dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Misi England untuk menamatkan penantian 60 tahun bagi menjulang Piala Dunia bakal berdepan cabaran besar apabila mereka bertemu ‘mesin gol’ Norway, Erling Haaland dalam aksi suku akhir di Miami, esok.

Selepas berjaya mengharungi cabaran altitud tinggi serta tekanan penyokong tuan rumah di Mexico City untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik dalam salah satu perlawanan klasik Piala Dunia, England hadir sebagai pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir.

Skuad kendalian Thomas Tuchel yang dibarisi pemain berprestasi tinggi seperti Harry Kane dan Jude Bellingham bagaimanapun perlu memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan apabila berdepan Haaland yang sedang berada dalam prestasi terbaik.

Penyerang Manchester City itu tampil cemerlang apabila membantu Norway menyingkirkan Brazil pada pusingan 16 terbaik, selain meledak tujuh gol dalam empat penampilan pertamanya di Piala Dunia.

Haaland, yang dilahirkan di England dan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City, menegaskan tekanan sepatutnya lebih dirasai oleh skuad The Three Lions.

“Saya rasa terdapat beberapa pasukan pilihan yang jelas dan England adalah salah satu daripadanya.

“Saya fikir semua tekanan patut diberikan kepada pemain England,” katanya kepada pemberita.

Norway yang kembali beraksi di Piala Dunia selepas 28 tahun berjaya melangkaui jangkaan ramai, dengan negara berpenduduk lebih lima juta orang itu mencipta fenomena tersendiri sepanjang kejohanan.

Sebelum berlepas ke Amerika Syarikat (AS), gambar skuad Norway berpakaian seperti Viking di hadapan kapal panjang menjadi tular di media sosial.

Tradisi itu berterusan apabila penyokong mereka meraikan setiap kemenangan menerusi aksi ‘Viking row’ dari tempat duduk stadium di AS, Times Square di New York sehinggalah ke jalanan Oslo.

Haaland menjadi individu yang mengetuai sambutan tersebut selepas persembahan hebatnya ketika menjaringkan dua gol lewat permainan untuk menyingkirkan Brazil, sekali gus membantu Norway mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

“Bertemu Brazil sudah cukup luar biasa buat kami rakyat Norway. Menewaskan mereka dan kemudian berdepan England pada suku akhir Piala Dunia di Amerika Syarikat adalah sesuatu yang sangat istimewa.

“Jika anda melihat kembali suasana di Norway, situasi seperti ini bukan perkara biasa buat kami, sebab itu ia sangat bermakna,” katanya.

England pula mara ke suku akhir untuk kali ketiga berturut-turut, namun mereka terpaksa berjuang keras sebelum menewaskan lawan di Mexico City.

Skuad kendalian Tuchel berjaya bertahan daripada asakan hebat lawan selepas bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 3-2, yang dianggap antara kemenangan terbaik England di pentas Piala Dunia di luar negara.

Walaupun masih menunggu kejuaraan utama sejak 1966, generasi pemain England ketika ini dianggap antara yang paling hampir untuk menamatkan kemarau tersebut.

Mereka tewas dalam dua aksi final Kejohanan Eropah terakhir selain mara ke separuh akhir dan suku akhir dalam dua edisi Piala Dunia terdahulu.

“Kami sudah berada dalam situasi seperti ini beberapa kali. Namun, pasukan terbaik pada hari perlawanan akan menjadi pemenang. Kami sedar perkara itu dan itulah fokus kami,” kata pemain sayap England, Bukayo Saka.

Bellingham dan Kane menjadi tonggak utama perjalanan England setakat ini, sama seperti peranan Haaland buat Norway.

Gandingan pemain tengah Real Madrid dan penyerang Bayern Munich itu menyumbang 10 daripada 11 gol England dalam kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, masalah utama England terletak di bahagian pertahanan selepas Jarell Quansah dikenakan penggantungan dua perlawanan susulan kad merah pada pusingan 16 terbaik.

Quansah sebelum ini beraksi sebagai pertahanan kanan menggantikan Reece James yang masih diragui kecergasannya akibat kecederaan hamstring.

Tuchel mungkin perlu melakukan rombakan pertahanan dengan Ezri Konsa berpotensi mengisi posisi bek kanan, manakala John Stones kembali di bahagian pertahanan tengah.

Selain cabaran taktikal, kedua-dua pasukan turut perlu berdepan keadaan cuaca panas dan kelembapan tinggi yang dijangka berlaku di Miami.

England setakat ini terlepas daripada keadaan cuaca yang terlalu mencabar apabila tiga daripada lima perlawanan mereka berlangsung ketika hujan, manakala dua lagi dimainkan di stadium berhawa dingin di Atlanta dan Dallas. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN