Rundingan menerusi pihak ketiga bagi bebaskan rakyat Malaysia

Rundingan menerusi pihak ketiga bagi bebaskan rakyat Malaysia

SYED HAMID ALBAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu berunding menerusi pihak ketiga, khususnya negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi membebaskan rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pendekatan ini penting meman­dangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik secara langsung dengan Israel.

Malah katanya, Malaysia tidak sepatutnya gentar dan tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) dalam isu melibatkan penahanan sukarela­wan GSF.

“Tiada apa-apa yang kita boleh lakukan sekarang mela­inkan berunding melalui pihak ketiga (negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik Israel),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Antara negara ketiga dari negara Asia Barat atau negara Islam yang mempunyai hubu­ngan diplomatik dengan Israel termasuk Mesir, Turkiye, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Zaid Ahmad, berkata, semua pihak di negara ini perlu bersatu dan tidak mempolitikkan isu kemanusiaan ini dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha diplomatik menyelamatkan rakyat negara ini.

“Krisis ini bukan soal politik. Ini soal nyawa dan maruah rakyat Malaysia di luar negara.

“Kita semua tanpa mengira latar belakang politik perlu bersatu hati dan memberi soko­ngan penuh kepada Perdana Menteri dan pasukan beliau dalam rundingan ini,” katanya.

Kekurangan ruang berunding secara langsung antara Malaysia dan Israel ekoran ketiadaan hubungan diplomatik dilihat meningkatkan risiko terhadap keselamatan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan selepas menyertai misi kemanusiaan GSF.

Situasi ini menyukarkan usa­ha pembebasan dan perlindu­ngan hak tahanan, malah boleh memburukkan lagi keadaan tahaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN