PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan UMNO sebagai wadah politik utama orang Melayu yang perlu terus diperkukuh menerusi semangat penyatuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Syed Hamid berkata, UMNO merupakan parti yang cukup dekat dengan dirinya, selain mempunyai nilai tersendiri yang turut dipengaruhi sejarah perjuangan keluarganya.
Menurutnya, bapanya yang juga tokoh terdahulu UMNO memainkan peranan penting dalam mengajak orang Melayu menyertai parti, sejak era awal penubuhannya.
“Sejak zaman Datuk Onn Jaafar hingga Tunku Abdul Rahman, arwah ayahanda saya bertungkus-lumus mengajak orang Melayu menyertai UMNO,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menzahirkan hasrat untuk mengakhiri karier politiknya bersama UMNO.
“Biarlah akhir politik saya dalam UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli.
“UMNO masih lagi wadah politik orang Melayu. Kita kukuhkan penyatuan walaupun ada kelainan pendapat dan pandangan. Ia tidak perlu untuk kita berpecah dan berbalah,” jelasnya.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO secara rasmi menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang sebelum ini pernah dipecat, digantung atau keluar daripada parti secara sukarela.
Selain Syed Hamid, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut tersenarai diterima semula ke dalam parti. – UTUSAN










