SEREMBAN: Sebanyak RM2.446 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan penyelenggaraan jalan Persekutuan seluruh Semenanjung Malaysia tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, sehingga bulan September lalu, sebanyak RM1.324 bilion telah dibelanjakan di bawah program berkala pavemen, berkala bukan pavemen, lampu isyarat dan penyenggaraan jambatan.
“Peruntukan itu turut merangkumi komitmen sebanyak RM37 juta di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya melibatkan 109 kerja terdiri daripada 76 kerja di bawah Program Blackspot dan 33 kerja di bawah Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Lampu Isyarat (LPKSI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Perakuan Siap Kerja (CPC), dan Peruntukan bagi Program Blackspot, Lintasan Pejalan Kaki Searas Lampu Isyarat serta Arahan Kerja serta Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Jalan Persekutuan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.
Alexander berkata, peruntukan besar itu menunjukkan komitmen kerajaan bukan sahaja dalam membina tetapi juga menyenggara dan menambah baik Jalan Persekutuan secara berterusan dan menyeluruh.
Menurutnya, Program Blackspot merupakan inisiatif strategik Kementerian Kerja Raya bagi mengurangkan kadar kemalangan di lokasi berisiko tinggi berdasarkan data kemalangan yang dikumpul daripada pelbagai agensi.
“Secara purata, program itu berjaya meningkatkan tahap keselamatan awam sehingga 80 peratus.
Selain itu, katanya, Program LPKSI turut diperkenalkan bagi membina lintasan khas di kawasan institusi pendidikan dan pusat kesihatan yang mempunyai pergerakan pejalan kaki tinggi. – UTUSAN










