PARIS: Menara Eiffel dan beberapa pusat pelancongan terkenal yang lain di Paris terpaksa ditutup lebih awal pada hujung minggu.
Salah satu laluan kejohanan lumba basikal berprestij, Tour de France dipendekkan buat pertama kali dalam sejarah ekoran gelombang haba ketiga yang melanda Perancis sejak Mei lalu.
Setakat Sabtu, satu perempat daripada wilayah utama Perancis termasuk Paris, berada di bawah amaran tahap tertinggi haba melampau.
Susulan ramalan suhu tinggi itu, pihak pengurusan Menara Eiffel mengumumkan bahawa monumen besi itu akan ditutup awal secara luar biasa pada hari Sabtu dan Ahad, iaitu pukul 4 petang waktu tempatan.
Langkah keselamatan yang sama turut diambil oleh dua muzium paling terkenal di ibu negara Perancis itu, iaitu Muzium Louvre dan Musée d’Orsay.
Pihak pengurusan Muzium Louvre, yang paling banyak dikunjungi di dunia, menyatakan bahawa premis mereka akan ditutup pada pukul 4 petang waktu tempatan bermula Jumaat hingga Isnin.
Sementara itu, Musee d’Orsay pula mengumumkan penutupan awal pada pukul 5 petang waktu tempatan bermula Sabtu hingga Rabu ini akibat cuaca panas yang ekstrem.
Kesan cuaca panas melampau ini turut menjejaskan penganjuran perlumbaan Tour de France. Pihak penganjur memutuskan untuk memendekkan peringkat laluan pada Ahad sejauh 185.5 kilometer sebanyak 30 kilometer dengan memotong laluan berbukit.
Keputusan luar biasa ini merupakan kali pertama diambil dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut. – AGENSI










