IPOH: Kerajaan negeri akan menunggu laporan daripada jabatan berkaitan sebelum mengesahkan punca fenomena air Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan, Gerik yang bertukar warna kebiruan sejak Jumaat lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah turun ke lokasi semalam bagi menjalankan siasatan, termasuk mengambil sampel air susulan kejadian itu yang turut dikaitkan dengan penemuan ikan mati di sungai berkenaan.
Katanya, hanya JMG mempunyai kepakaran dan autoriti untuk memberikan penjelasan teknikal mengenai kandungan air sungai berkenaan, manakala JAS pula menjalankan analisis bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencemaran.
“Saya sudah menghubungi Pegawai Daerah dan JMG sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu. JMG bersama JAS telah turun ke lokasi untuk membuat kajian dan mengambil sampel air.
“Hanya JMG mempunyai autoriti untuk memberi penjelasan berhubung kandungan air sungai berkenaan kerana perkara itu melibatkan aspek teknikal,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor, di sini hari ini.
Menurut beliau, fenomena itu pernah berlaku sebelum ini termasuk pada 2019 dan Oktober 2025, namun punca sebenar kejadian kali ini hanya dapat dipastikan selepas laporan JMG dan JAS selesai.
“Ada yang mengaitkan fenomena ini dengan kandungan mineral di kawasan hulu sungai, tetapi saya tidak boleh mengulas perkara teknikal itu. Kita tunggu laporan JMG dan JAS.
“Kejadian sama pernah berlaku pada 2025 dan selepas beberapa ketika, warna air kembali normal. Kali ini ia bertukar biru semula, jadi siasatan akan dijalankan semula untuk menentukan puncanya.
“Kita tidak tahu sama ada ia berpunca daripada bahan kimia atau faktor lain. Perkara itu hanya boleh dipastikan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan autoriti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, aliran air Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan bertukar kebiruan disyaki kembali tercemar, sekali gus mengulangi kejadian tular membabitkan aliran air Sungai Perak dekat Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik pada Oktober 2025.
Insiden di Jambatan Kampung Sungai Papan disahkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu yang mungkin berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Susulan pendedahan itu, kerajaan negeri mengarahkan tiga syarikat perlombongan di daerah Hulu Perak menghentikan sementara operasi namun dibenarkan beroperasi semula pada 13 Januari lalu. – UTUSAN










