TEHERAN: Sebuah akhbar konservatif Iran yang dikenali dengan nada provokatif menerbitkan senarai individu yang didakwa menjadi sasaran balas dendam, termasuk pemimpin Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara Eropah susulan pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Khamenei terbunuh dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari, hari pertama perang di Asia Barat, manakala anak serta penggantinya, Mojtaba Khamenei, berikrar akan membalas dendam.
“Pembalasan adalah kehendak rakyat kami dan pasti akan dilaksanakan,” kata Mojtaba pada Sabtu dalam mesej pertamanya sejak pengebumian bapanya minggu ini.
Akhbar Hamshahri, yang diterbitkan oleh pihak berkuasa di ibu negara Iran, menyiarkan infografik dalam talian lewat Sabtu memaparkan gambar 13 pemimpin asing bersama kenyataan Mojtaba.
Dalam mesejnya, pemimpin tertinggi Iran itu berkata, negaranya telah menyusun senarai individu yang akan menjadi sasaran, namun tidak menamakan mereka, dan tiada petunjuk bahawa senarai yang disiarkan akhbar itu mendapat pengesahan rasmi.
Infografik itu menyenaraikan Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer antara yang menjadi sasaran.
Bagaimanapun, infografik berkenaan tidak disiarkan dalam edisi cetak akhbar itu pada Ahad.
Turut tersenarai ialah Setiausaha Negara AS, Marco Rubio; Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni serta Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Sepanjang perang itu, Iran menuduh beberapa negara Eropah gagal mengecam serangan ke atas wilayahnya dan turut bersubahat kerana membenarkan pesawat tentera AS menggunakan ruang udara mereka.
Mojtaba tidak pernah muncul di khalayak sejak sebelum perang tercetus dan dilaporkan cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya.-AFP










