KUALA LUMPUR: Penyanyi, Rezza Shah, 23, tetap mengintai ruang dan peluang untuk mencipta nama di Indonesia meskipun hasrat itu terpaksa ditunda berikutan pertukaran pihak pengurusan.
Katanya, dia bagaimanapun secara berperingkat akan mengatur perancangan agar hasrat mencuba nasib di Indinesia satu masa nanti dapat direalisasikan.
“Buat masa ini saya tangguh dulu perancangan ke Indonesia supaya saya boleh fokus menstabilkan kerjaya di Malaysia.
“Tapi saya tidak akan lupakan hasrat untuk mencuba nasib di negara seberang sebab itu antara impian yang saya pasang sejak dahulu lagi.
“Jadi secara perlahan-lahan saya susun perancangan untuk itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas peserta pertandingan Calpis Soda One In A Million ini mengulas tentang perancangan dengan pengurusnya terdahulu yang sebelum ini hampir terbang ke Indonesia untuk bekerjasama dengan komposer, Ade Govinda.
Kata Rezza, kepelbagaian budaya dan golongan pendengar membuatkan dia terpanggil untuk meneroka pasaran muzik di negara tersebut.
“Saya mahu keluar zon selesa. Dulu semasa di Sarawak, ada yang cadangkan saya bina karier seni di Kuala Lumpur. Jadi saya ikut saranan tersebut.
“Sekarang, masanya bagi saya susun perancangan untuk cuba nasib di Indonesia pula. Lain tempat, lain masyarakat dan budaya.
“Mungkin rezeki saya ada di sana. Jadi tak rugi kalau saya mencuba,” kongsinya.- UTUSAN










