KANGAR: Kedudukan Abu Bakar Hamzah tidak akan tergugat apabila Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan memberi jaminan bahawa enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas tidak akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar baharu itu.
Rus’sele berkata, ia demi kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga habis penggal.
Katanya, meskipun wakil Pas tidak menganggotai barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik, namun mereka akan menyokong pentadbiran Abu Bakar.
“Tidak mungkin berlaku undi tidak percaya daripada wakil rakyat Pas kepada Menteri Besar baharu dan kita juga melihat kepada pesanan dan titah Raja Perlis yang mahu semua ADUN dari PN bersatu demi kepentingan negeri.
“Biarlah sampai akhir penggal Kerajaan PN Perlis ini. Saya juga meminta agar semua program dianjurkan kerajaan negeri selepas ini dilibatkan semua ADUN daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kita perlu gambarkan pada rakyat bahawa kita (PN) tidak berpecah, meskipun berlaku pertukaran Menteri Besar,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak akan menganggotai barisan Exco Perlis yang baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli.
Pada Ahad lalu, Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohd. Shukri.
Krisis politik di Perlis meletus selepas lapan ADUN PN iaitu lima daripada Bersatu dan tiga daripada Pas menandatangani akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri yang juga ADUN Sanglang.
Sementara itu, Rus’sele yang juga pemimpin Pas menyerahkan kepada Abu Bakar sama ada akan mengekalkannya sebagai Yang Dipertua DUN atau sebaliknya.
Katanya, setakat ini beliau kekal di jawatan itu kerana tiada arahan daripada parti berhubung perkara itu.
“Rombakan speaker terpulanglah kepada kebijaksanaan Menteri Besar,” katanya. – UTUSAN









