Rapid KL lanjut operasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Rapid KL lanjut operasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid KL melanjutkan operasi tren pada waktu puncak, menambah kekerapan perjalanan, menempatkan petugas tambahan di stesen utama serta memperkukuh pemantauan operasi sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula 26 hingga 28 Oktober ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kerajaan mempertingkat kecekapan sistem pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai serta delegasi antarabangsa sepanjang sidang berkenaan.

“Langkah ini seiring dengan komitmen kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih mudah, efisien dan responsif selaras dengan prinsip ihsan serta kesejahteraan rakyat di bawah gagasan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOT berkata, pelaksanaan penambahbaikan tersebut turut bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berikutan lencongan jalan raya secara berperingkat di beberapa laluan utama masuk dan keluar ibu negara oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh sidang berlangsung.

“Perkhidmatan rel Rapid KL akan dilanjutkan satu jam pada waktu puncak pagi dan petang selama dua hari bermula 27 Oktober, manakala kekerapan tren pada 25 dan 26 Oktober turut dipertingkat bagi menampung pertambahan penumpang bagi memastikan kelancaran operasi.

“Rapid KL juga bersedia menggerakkan tren tambahan sekiranya berlaku peningkatan mendadak jumlah pengguna atau mengikut keperluan operasi semasa. Seramai 400 petugas tambahan akan ditempatkan di stesen utama bagi membantu melancarkan pergerakan pengguna dan delegasi ASEAN,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan perjalanan berikutan penutupan jalan di sekitar pusat bandar.

Antara laluan yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa–LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa–KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah–Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya–Lebuh Ampang) serta Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa–Chow Kit dan Zon CBD).

Pengguna yang menuju ke KLCC dan kawasan sekitar disaran menggunakan perkhidmatan rel sebagai alternatif dengan pilihan stesen berdekatan termasuk KLCC (Laluan Kelana Jaya), Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Raja Chulan (Monorel KL), Conlay (Laluan Putrajaya) dan Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL).

Bagi perkhidmatan ke lapangan terbang, KLIA Ekspres akan beroperasi seperti biasa dengan penambahan kekerapan tren bagi memastikan kelancaran perjalanan ke Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, perkhidmatan KLIA Transit akan menyediakan tren tambahan pada jam 1 pagi dari KLIA Terminal 2 ke KL Sentral, manakala jadual perjalanan kedua-dua perkhidmatan itu bagi tempoh 22 hingga 28 Oktober turut dikemas kini bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.

Katanya, Rapid KL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi jaminan semua aset dan kemudahan pengangkutan awam berada dalam keadaan baik serta bersedia sepenuhnya menghadapi peningkatan jumlah pengguna sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan.

“MOT menyeru warga kota untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan ke kawasan tumpuan dan membantu memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh sidang berlangsung,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN