PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap dalam mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja bagi mempersembahkan perkembangan negara termasuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual hujung bulan ini.
Perdana Menteri berkata, dalam sesi tersebut turut menyentuh isu dasar termasuk Belanjawan 2026 dan cadangan Pelan Damai Gaza.
“Tadi yang pre-council dengan Majlis Raja-Raja biasa bagi perkembangan perkembangan masa-masa termasuk lawatan pemimpin dunia, ASEAN akhir Oktober.
“Ini termasuk juga lawatan Presiden AS, Donald Trump di Malaysia selain tentang cadangan damai Gaza yang dipelopori oleh Presiden Trump, juga beberapa isu dasar termasuk persiapan Belanjawan 2026,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan ASEAN Kesediaan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan terdapat perubahan jadual dalam sidang Dewan Rakyat apabila Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang sepatutnya dijawab Anwar terpaksa ditiadakan susulan beliau dititah untuk hadir ke Istana Negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu pada permulaan persidangan ketika menjelaskan ketiadaan Anwar untuk menjawab dua soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya turut memaklumkan sebab ketiadaannya dalam sesi sidang Dewan Rakyat pagi tadi.
“Saya bergegas ke lapangan terbang bagi mengiringi keberangkatan rakan sejawat saya, Perdana Menteri Pakistan (Muhammad Shehbaz Sharif), saya sekali lagi memohon maaf atas kelewatan ini.
“Kebetulan juga ia bertindih dengan sesi waktu pertanyaan Perdana Menteri pada pukul 10 pagi di Parlimen.
“Saya akui, mungkin ada sedikit rasa lega, walaupun tidak dapat mengelak sepenuhnya kerana soalan yang sama akan dibangkitkan semula pada minggu hadapan,” katanya.
Isnin lalu, Trump membentangkan Pelan Damai 20 Perkara bagi menamatkan perang di Gaza dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.
Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.
Pada 27 September lalu, Anwar berkata, penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian.
Langkah itu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup.-UTUSAN










